Khamis, 17 Disember 2009

~Hijrah bersama ilmu



Hijrah bersama ilmu


UMAT Islam menyambut Maal Hijrah setiap tahun bagi mengingati dan menghayati perjuangan Rasulullah s.a.w dan sahabat dalam peristiwa Hijrah dari Makkah ke Madinah. Hijrah adalah peristiwa penting dalam sejarah Islam. Dalam konteks sirah Rasulullah s.a.w, Hijrah membolehkan baginda mengatur strategi lebih berkesan bagi umat Islam menggembleng usaha dan mengukuhkan kekuatan umat Islam.

Imej warak penuh ilmu

Selama tempoh 1,429 tahun kita menyambut Maal Hijrah, bukan bermaksud sekadar kita berhijrah dari Makkah ke Madinah atau dari satu tempat ke tempat lain tetapi yang penting menjiwai perjuangan dan kebijaksanaan Rasulullah s.a.w menjana serta meno batkan Islam di mercu dunia demi kesejahteraan umat.

Hijrah bagi umat Islam bukan sekadar membilang detik masa atau mengadakan pertunjukan hiburan dan bunga api, apatah lagi mabuk sehingga melupakan tata susila sebagai seorang manusia.

Umat Islam perlu berhijrah daripada melakukan perbuatan yang buruk kepada mencapai sesuatu yang lebih baik dan kejayaan.

Paling penting ialah meningkatkan ketakwaan agar terus kekal sebagai Muslim yang mampu berdepan dengan apa jua cabaran yang mengganggu gugat keimanan.

Rasulullah s.a.w bersabda yang maksudnya:

“Orang yang berhijrah itu ialah mereka yang meninggalkan apa-apa yang dilarang Allah ke atasnya.” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim).

Konsep hubungan hijrah dan kejayaan mendapat rahmat Allah dan disebut dalam al-Quran yang bermaksud:

“Sesungguhnya orang yang beriman dan berhijrah dan berjihad di jalan Allah, mereka itulah yang boleh mengharap rahmat dari-Nya.” (al-Baqarah ayat 218).

Untuk berhijrah ke arah kejayaan, umat Islam memerlukan ilmu kerana ia aspek terpenting dalam anjakan paradigma ummah menuju kegemilangan.

Sejarah membuktikan jatuh bangun sesebuah bangsa ditentukan sejauh mana penduduknya berilmu.

Tanpa ilmu, sesebuah bangsa dan negara itu akan diperalat dan ditindas. Ini berlaku kepada beberapa negara di Afrika.

Sejarah Islam memberi jalan yang cantik bagaimana ilmu boleh dimanfaat seperti kegemilangan Islam yang dicetuskan golongan ilmuan Islam. Mereka bukan sahaja warak tetapi berilmu.

Nama-nama seperti Ibnu Sina, al-Biruni, al-Kindi, Ibnu Hayyan, Umar al-Khayyan dan al- Khawarizmi cukup mengerunkan dunia dengan ketinggian ilmu pengetahuan.

Namun, kegemilangan tamadun Islam gagal dipertahankan.

Penjajahan kuasa Barat ke atas negara dunia ketiga khususnya negara Islam turut memecahbelah umat Islam.

Sebaliknya, beberapa negara bukan Islam belajar rahsia kegemilangan Islam untuk menjadi bangsa yang disegani masyarakat dunia.

Pada masa ini beberapa negara seperti Jepun, China dan Korea Selatan mencapai kemajuan hebat dalam pelbagai bidang hingga mampu bersaing dengan kuasa besar seperti Amerika Syarikat, Jerman, Perancis dan beberapa negara Eropah.

Jepun, misalnya hampir musnah ketika bom atom digugurkan di Hiroshima dan Nagasaki tetapi mereka bangun dan berhijrah menjadi bangsa maju serta dihormati dunia. Apa rahsianya? Tentunya mereka berilmu dan menghargai ilmu.

Hijrah sebagai sunatullah bagi semua Nabi dan Rasul adalah batu loncatan untuk meme nangkan yang hak dalam peperangan di antara kedua-duanya.

Dengan hijrah, yang hak memenangi peperangan itu. Hijrah minda bermaksud seluruh hidup manusia itu diserahkan kepada Allah semata-mata.

Suatu ketika dahulu, umat Islam membuktikan kepada dunia mereka umat cemerlang.

Mereka membawa rahmat besar dan mewujudkan kualiti modal insan yang mementingkan pembangunan rohani dan material.

Mereka membebaskan kesesatan akidah manusia dengan mewujudkan negara Islam di Timur Tengah, Afrika Utara, Asia Tengah, sebahagian Eropah dan beberapa kawasan di Asia.

Mereka berjaya menjadikan negara Islam sebagai hab ilmu pengetahuan dan tempat rujukan dunia. Manusia berpengetahuan dan berilmu menjadi tenaga penggerak tamadun manusia.

Kemuncak dunia Islam sebagai hab ilmu wujud pada zaman kerajaan Abassiah pada abad kelapan dan sembilan Masihi.

Seiring dengan sifat mahu menuntut ilmu, umat Islam wajar menanam sikap mampu memberi pendapat, idea dan inovatif, mereka cipta sesuatu yang baru dan menjadi masyarakat pintar.

Kita tidak boleh hidup dalam dunia yang jumud dan mengharap perubahan datang dengan sendiri tanpa usaha.

Justeru, sesuai dengan semangat Maal Hijrah umat Islam perlu membetulkan kesilapan dan kelemahan diri. Jika sebelum ini kita menanam azam sempena Tahun Baru Masihi, kita juga mempunyai azam yang sama sempena Tahun Baru Hijrah.

Ini bermakna kita perlu membuang sikap malas, lesu dan mundur selain meningkatkan ilmu pengetahuan, kemahiran, kepakaran dan kebijaksanaan bagi menjana kemajuan dan pembangunan negara.

Bagi graduan universiti yang mempunyai ilmu, gunakan azam Tahun Baru Hijrah untuk memajukan diri, keluarga dan negara, bukan hanya me nunggu pekerjaan datang kepada mereka.

Masanya sudah tiba bagi umat Islam di negara ini bangkit daripada takuk lama dan menjadi insan yang benarbenar cemerlang dan mengikut langkah umat terdahulu yang menjadikan negara Islam hab ilmu pengetahuan.



Tiada ulasan: